Kalumpang telah diasaskan oleh Panglima Kanan atau nama sebenar beliau Hj. Salam bin Datuk Berkanun pada tahun 1883 atau pada tahun sebelumnya. Beliau berasal dari Kampung Kota Raja, Rao Mapat Tunggal Kecamatan Rao, Kabupaten Pasaman Sumatra Barat dan merupakan keturunan Rao (Rawa). Beliau dianugerahkan gelaran Panglima Kanan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor (Sultan Muhamad) pada zamannya disebabkan beliau telah dapat membunuh Panglima Pahang sewaktu Perang Pahang - Selangor selain telah berjaya menumpaskan perompak lanun di Sabak Bernam.

Panglima Kanan merupakan adik ipar kepada Penghulu Tua Tanjung Malim, iaitu Tun Haji Mustapha bin Raja Kemala. Isteri Panglima Kanan bernama Hjh Rahmah binti Hj Siun. Tun Haji Mustapha merupakan individu yang telah membuka Tanjung Malim atau Bernam pada waktu itu. Panglima Kanan telah menjadi Penolong kepada Tun Haji Mustapha, di mana Kalumpang merupakan daerah pemerintahan Bernam.

Mengikut riwayat oleh Allahyarham Haji Abdullah bin Haji Salam-anak Panglima Kanan, beliau bersama Nawi bin Raja Mulok (orang Rao Pahang) telah membuka Kalumpang. Beliau dan pengikutnya berhijrah dari Bernam sampai ke sebuah pokok yang besarnya lain dari yang lain-diketahui dengan Kalumpang dan telah berehat di situ. Dari pohon tersebutlah, Kalumpang mendapat nama.

Pohon tersebut terletak di pasar lama Kalumpang dan telah ditebang pada tahun 30-an. Beliau merupakan individu yang mula-mula membina rumahnya di tapak lama pasar Kalumpang, berdindingkan pelupoh dan beratapkan rumbia. Panglima Kanan bertanggungjawab membawa orang-orang Cina dari Sekinchan dan daerah lain untuk melombong bijih timah di Kalumpang.

Dalam Perang Saudara Selangor, beliau dan pengikutnya telah menjadi pengikut Syed Masyor yang membantu Raja Mahdi merebut takhta negeri Selangor melawan Sultan Abdul Samad tetapi tewas. Oleh sebab itu, beliau tidak dapat menjadi orang besar Selangor. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Sejantung. Pada satu ketika kubur beliau dan yang lain telah dialihkan ke tempat bernama Kubah (Gubah) yang merupakan kawasan perkuburan lama Kalumpang dan masih ada sehingga hari ini.

Setelah kematian Panglima Kanan, seorang penghulu dikehendaki di Kalumpang. Oleh kerana anak-anak beliau tidak mahu menggantikannya. Pemerintah Selangor telah melantik Penghulu Abdul Ghafar dari Batu Laut sebagai penghulu Kalumpang yang pertama.

Sumber:

Riwayat Panglima Kanan Membuka Kalumpang (1883), http://terombarawa.blogspot.com/2010/04/riwayat-panglima-kanan-membuka.html